MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004

Siri Setiap Teluk Ada Kemangnya: Bahagian Akhir

HATIKU TERUSIK, 
JIWAKU TERSIKSA

(Teluk Kemang - Satu Epilog)

Kalaulah Ruslan Kassim menang di pilihanraya kecil Teluk Kemang tentu sekali dia menyambut kemunculan Maulidurrasul bersama semua penduduk Islam di Teluk Kemang. Demikianlah perjalanan takdir yang hanya ditentukan oleh Yang Maha Esa. Manusia hanya mampu merancangnya. Namun, sudah tersirat kini beberapa teka teki yang perlu dirungkai oleh pemimpin parti pembangkang di negara ini untuk menentukan Teluk Kemang bertukar-tangan kepada Barisan Alternatif di kesempatan yang terdekat.

Sesiapa yang pernah tinggal di Teluk Kemang ataupun kerap melawat  tempat peranginan itu tentu sedar betapa adanya sifat-sifat mistik  yang memaut rasa dan mencuit hati setiap insan yang mengunjunginya.  Inilah Teluk Kemang, satu kawasan yang mempunyai segala keindahan alam yang semula-jadi dan beberapa kemudahan istimewa yang mampu membikinnya satu kawasan parlimen yang paling terkaya di Negeri Sembilan, dan satu pusat percutian yang paling menarik di seluruh negara.  Sayang sekali, segala kemudahan yang diberi oleh Allah SWT tidak nampak dengan jelas oleh para pemimpin yang memerintah dan memegang tampuk pemerintahan di Negeri Sembilan khasnya dan di Putra Jaya amnya. Teluk Kemang hanya mampu menjadi tempat persinggahan untuk pelawat melepaskan lelah dan menjadi tempat rehat sampingan buat sementara. Tidak lebih dari itu.

Satu kawasan pantai sepanjang lebih lima belas batu (kalau diambil daripada Kuala Lukut ke Tanjung Agas dan Linggi), Teluk Kemang sudah mampu dibangunkan sebagaimana Pantai Copacabana dan Ipanima dimajukan sehingga ia menjadi satu tarikan yang mesti dilawati oleh pencinta alam dan penggila pantai. Copacabana dan Ipanama terletak di persisiran pantai Rio de Janeiro dan menjadi tumpuan pelancong seantero dunia bukan kerana pantainya semata-mata, kerana ada kalanya pantai itu tidak sesuai untuk bermandian kerana keadaan ombak yang datang menggila dan suhu air yang kerap tidak sesuai untuk badan. Lantas ia menjadi satu tempat pesta di mana diadakan Majlis 'Mardi Grass' yang memerlukan penubuhan lebih daripada tiga puluh kelas tarian samba yang mengajar anak-anak muda akan tarian tradisi negara itu untuk dipersembahkan di majlis yang akan muncul lagi. Ini tidak bermakna Rio de Janeiro hanya untuk melihat keceriaan manusia yang mudah terpukau dengan keunikan 'Banda de Ipanema' yang telah berusia lebih 36 tahun itu. Inilah pasukan muzik Brazil yang unik kerana ada pemain muziknya yang sudah menjangkau 80 tahun usianya tetapi masih berdaya menunjukkan mainan yang menakjubkan setiap tahun. Mereka menganggotai 'banda' itu dan bermain sehingga mati.

Itulah sahaja kesamaan yang terdapat di antara Rio de Janeiro dan Teluk Kemang - pantainya yang panjang dan indah. Tetapi Teluk Kemang mempunyai keindahan dan keistimewaan yang lebih baik lagi daripada Rio untuk memungkinkannya menjadi satu tumpuan pelancong seluruh dunia. Teluk Kemang mempunyai kawasan pembangunan yang lebih luas sedangkan Rio adalah kawasan yang berbatu curam menghadapi kawasan pantai itu. Kerana itu dibina satu struktur gargantuan di puncak bukit 'Loaf Mountain' menyerupai patung Al Masehi yang dianggap kudus kepada penganut Katholik.

Kita mungkin mahu menyoal kenapa orang gila berlumba lumba menempah tiket ke Rio dan mencari bilik yang pilihan dua tahun lebih awal sebelum ke sana? Apakah yang ajaibnya dengan Copacabana dan Ipanema sedangkan penghuni tempatan masih lagi menghuni bangunan tinggi yang amat sedih kemudahannya? Semua itu tidak dipedulikan oleh pelawat asing. Mereka terus berdegil mahukan tempahan bilik dibuat setiap tahun dengan Intercontinental, Hyaat, Cesar's Palace, Meridian, Holiday Inn dan sebagainya. Janganlah diimpikan untuk mendapat tempat di Copacabana Palace yang sudah berusia 75 tahun kini. Tempat penginapan termasyhur ini memerlukan tempahan awal tiga tahun untuk memastikan biliknya. Inilah kediaman separuh rasmi Mick Jagger, Madonna, David Bowie, Tina Turner  dan beberapa artis unggulan barat.

Demikian hebatnya Rio de Janeiro di mata dunia sedangkan pantainya tidaklah begitu jauh indahnya daripada pantai di Teluk Kemang. Tetapi, ia menjadi tempat percutian yang diimpikan oleh setiap insan yang berwang di seluruh dunia.

Apabila tiba di sana mereka mula gelabah untuk menentukan adanya pengiring keselamatan yang melindungi mereka daripada gangguan lebih tiga ratus ribu anak-anak muda yang berkeliaran mencari mangsa di kota raya itu kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap apatah lagi tempat tinggal yang tetap jua. Inilah anak-anak luar nikah yang lahir hasil perkongsian hidup di antara pelawat yang mendatang dengan para pelayan dan kupu-kupu malam di kota raya itu. Inilah juga manusianya yang menjadi pingitan sebahagian besar para pengunjung ke situ.

Pantai yang panjang di mana pasir memutih yang lebar meminggiri tebing daratan menjadi satu halaman yang luas untuk dijadikan gelanggang permainan bola pantai. Ada gelanggang mainan 'volleyball' (bola tampar) dan ada juga gelanggang bola pantai. Inilah stadium percuma di sepanjang pantai itu. Inilah yang menjadi tumpuan pelawat asing yang mahu mencari bakat untuk dibawa keluar sebagai pemain baru kelab terkenal di negara maju. Kalau pemain bola pantai yang diintip, para agen intipan itu mahu mencari pemain yang mempunyai bakat untuk bermain laksana Pele, Zico, Roberto Carlos ataupun Raii. Kalau pemain bola tampar yang mereka cari, tentunya mereka mencari bakat muda yang dapat dikemukakan di gelanggang juara dunia. Inilah keistimewaan tempat itu dan inilah potensi yang ada pada Teluk Kemang yang tidak diambil kira sejak pembangunan direncanakan oleh kerajaan negeri pimpinan Isa Samad. Sayangnya inilah faktor pembangunan yang tidak tervisi oleh para pengundi Teluk Kemang kerana mereka telah terpukau dengan janji manis parti pemerintah bahawa "apa yang dilakukan kepada Teluk Kemang selama ini adalah yang terbaik dapat diimpikan oleh penduduk Teluk Kemang juga."

Teluk Kemang Membangun Siapa yang Kaya?

Kita tidak nafikan betapa Teluk Kemang telah membangun. Di Port Dickson sudah ada beberapa pencakar langit yang tinggi. Samada semua biliknya terjual, biarlah menjadi soalan misteri. Di Lukut menghala ke Tanah Merah Estate memang terdapat beberapa kawasan perumahan yang tersergam luas. Hampir sembilan puluh peratus kawasan itu tidak berpenghuni. Bayangkanlah apa jadinya dengan projek yang memerlukan bayaran ansuran bulanan. Bayangkan pula apa jadinya kepada bank-bank dan institusi kewangan yang mengendalikan segala bentuk pinjaman dalam projek itu.

Punca kemewahan Teluk Kemang sudah lama berlalu dengan tercetusnya wabak virus Nipah. Satu tugu kecil yang terletak di Kampung Nipah (tidak berapa jauh daripada Sekolah Desa Chuah)  adalah simbol kemewahan yang menyerlah di pertengahan jalan dan tersungkur ke bumi bersama para mangsa yang dijangkiti virus itu. Mereka  mati tanpa mengetahui betapa parti yang menjanjikan mereka bantuan ketika nazak dulu sudah diberikan kemenangan sekali lagi oleh rakan-rakan yang masih tidak serik dengan segala penipuan politik dan putar alam mereka. 

Di Pedas, sudah ada satu projek mainan di tempat air panas yang satu ketika dulu hanya memerlukan beberapa keping syiling untuk menikmati air belerang di situ. Tetapi, kini kecanggihan kemudahan yang termoden masih tidak menjamin keuntungan kepada projek pelancungannya. Begitu juga di Cembong dan Rembau. Memang sudah terdapat banyak projek pembangunan di situ. Siapakah tenaga pekerjanya dan siapakah kontraktor dan pengusaha utamanya dan bagaimanakah mereka mudah mendapatkan tanah kerajaan sedangkan keadaan kewangan mereka tidak pun berapa kuat? Berapa persenkah di kalangan mereka itu yang merupakan anak watan Teluk Kemang?

Kenapa Undi Pos Menyebelahi BA?

Kalau diambil kira undian yang menyebelahi BN kita dapati undi pos telah memihak kepada calon BA. Mengikut analisis  undi di Teluk Kemang (Sila lihat Mindrakyat: htp://arkib_terpilih.tripod.com/i200_0884.htm), kelebihan undi sebanyak 118 telah memihak kepada BA. Ini adalah angka undian yang dikendalikan oleh pemerintah tentera yang sedang dipertikaikan. Ada desas desus yang mengatakan dua orang isteri tentera telah tidak datang mengundi tetapi kertas undinya telah dipangkah orang lain. Ini merupakan satu kesalahan besar yang nampak. Yang tidak nampak mungkin lebih besar lagi.

Undi AWOL Siapa  Yang Pangkah?

AWOL  bererti 'Absent Without Leave' ataupun absen tanpa kebenaran.  Dengan  kata mudah, orang yang menghilangkan dirinya daripada tugas tanpa kebenaran adalah kes AWOL. Kes ini amat kerap berlaku di mana sahaja; dalam pasukan ketenteraan di negara ini. Cuma disenyapkan kerana tidak mahu 'repot-repot' kata orang seberang. Jadi, siapakah yang memangkah kertas undi manusia yang lesap ini? Kalau ini boleh berlaku di Teluk Kemang apakah kemungkinannya ia berlaku di tempat pengundian lain sebelum ini?

Undi yang Sengaja Lesap

Salah satu sungutan besar di Teluk Kemang ialah hilangnya hampir 4000 nama pengundi sahih di Teluk Kemang. Ada yang telah dipindahkan ke kawasan lain. Malahan ada seorang pengundi yang menyesal kerana namanya dihantar ke Tanjung Karang, sedangkan dia sudah dua kali mengundi di situ. Apa sudah jadi, katanya. Apakah disebabkan saya memangkah pembangkang dua kali sebelum ini saya menjadi mangsa kali ini pula? Demikian dia menyoal saya seolah-olah saya makan gaji dengan SPR pula. Kalau orang yang pernah diketahui memangkah pembangkang di waktu yang lalu ditidakkan haknya mengundi kali ini, apakah kemenangan BN itu sesuatu yang membanggakan? Apakah dosanya kepada pegawai Islam yang melakukan kerja-kerja terkutuk ini? Apakah gaji bulanan yang mereka terima itu merupakan pendapatan halal untuk menyara anak dan isteri mereka di rumah?

Kenapa semakin ramai menolak Barisan Nasional?

Pada pilihanraya kecil yang lalu BN telah menang dengan majoriti yang hampir mencecah 10,000 undi. Kali ini kelebihan majoriti hanya 5972 undi. Ini merupakan penurunan yang mendadak dan tentu sekali membimbangkan kalau diambil kira calon BN yang lahir di kawasan itu. Kalau diambil kira penipuan dan penyelewengan yang berlaku seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang, Solinathan merupakan seorang pemenang atas dasar tipu-helah dan  muslihat SPR semata-mata. Apakah agaknya peranan yang akan dimainkannya selepas ini sedangkan majoriti penduduk Teluk Kemang sebenarnya tidak mahukan beliau?

Kemunculan Solinathan sebenarnya satu perakuan BN tentang sistem Korupsi, Kollusi dan Kronisme. Solinathan adalah pembantu khas Sammy Velu sebelum itu. Apakah dia mampu memuaskan kehendak orang Teluk Kemang sedangkan dia pasti akan terus menumpukan peranan terhadap masalah yang dihadapi oleh Samy Vellu? Salah satu bahan kempen yang memburukkan Solinathan ialah peruntukan saham Telekom yang diberikan kepada MIC melalui Maika Holdings. Semua orang tahu betapa masyarakat India di negara ini tertipu dengan projek itu. Ramai kaum India yang menjadi pekerja biasa yang masih lagi membayar hutang bank ketika membeli saham syarikat itu. Ada yang menjadi muflis dan ada pula yang dikatakan menggantung diri kerana kerugian besar  dan tidak sanggup menanggung malu.  Inilah puncanya kenapa masih ramai kaum India yang tidak memangkah Solinathan. 

Tetapi, kedurjanaan Samy Vellu dan peranan Solinathan dalam muslihat itu tidak pun mencuit hati para pengundi untuk menolak calon BN itu. Seolah-olah mereka menerima hakikat bahawa masalah MIC adalah masalah sesuatu kaum yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Sedangkan mereka tahu, kalau sudah ada unsur pecah amanah yang terang-terangan apakah tidak mungkin unsur demikian akan berulang pula di Teluk Kemang? Kenapakah tidak terlintas di fikiran mereka betapa Samy Vellu amat takut akan masalah ini terdedah berpanjangan sehinggakan beliau sanggup berkhemah di Teluk Kemang sepanjang kempen itu. Dia tahu kalau Solinathan tumpas ia bererti hancurnya salah satu anak tangga yang menghiasi mahligai kegemilangan presiden MIC.

Semua presiden parti komponen BN semacam sehaluan menuju kawasan bergelora dalam perahu politik mereka. Seolah-olah mengikut dilema yang dihadapi oleh presiden Barisan Nasional yang kini diketahui tidak mampu tidur nyenyak lagi.  Memang sejak September 1998 dia kurang senang tidur dan makan minum pun kurang menyelerakan. Begitu juga dengan presiden parti komponen yang menganggotai BN. Cuma, masalah peribadi ini tidak menonjol kerana ketiadaan media pembangkang yang dibenarkan bergerak secara bebas. Semua bentuk percetakan yang condong kepada aspirasi pembangkang sudah dikekang. Kerana itu rakyat marhaen tidak tahu sangat akan apa yang berlaku sebenarnya. 

Pengekangan hak kepada maklumat yang benar tidak menjadi satu isu besar ketika berkempen kerana rakyat marhaen sebenarnya tidak berapa terlatih memahami salah guna kuasa dalam perkara ini. Sepatutnya tindakan kerajaan mengekang hak kepada maklumat bebas sudah mampu mendorong rakyat marhaen mengganyang calon BN tempoh hari. Perkara ini tidak pun berlaku sehinggalah satu hari nanti apabila rakyat sedar betapa pentingnya maklumat yang tepat dalam kehidupan mereka. Menantikan waktu itu muncul, rakyat marhaen boleh lagi ditipu dan terus tertipu.

Orang Cina Pun Meluat Dengan BN

Satu ketika dulu pengundi Cina merupakan satu blok pengundian yang kuat berpihak kepada BN. Tetapi, kali ini berlaku perpecahan yang ketara. Lukut yang merupakan kubu kuat pengundi Cina telah berpihak kepada calon BA. Ini adalah kesan tragedi Wabak Nipah yang telah datang melanda hingga mampu menggugat kemajuan ekonomi Teluk Kemang. Gelagat pengundi Cina Lukut dan Kampung Chua khasnya telah menerima tambahan pampasan yang diberikan oleh kerajaan kepada para penternak khinzir yang kemalangan. Tetapi, bila waktu memangkah, mereka telah memilih barisan Alternatif. Mereka tahu, wang bantuan pampasan yang dihulurkan oleh kerajaan itu adalah sesuatu yang tidak pernah ikhlas. Seperti kata seorang peniaga buah di Lukut: "Kalaulah tidak ada pilihanraya kecil ini, kita di sini boleh menunggu hingga 2004 untuk menerima tambahan pampasan ini. Tetapi apa yang sebenarnya dapat menyenangkan fikiran kami ialah kemanakah perginya wang kutipan derma berjumlah Empat Puluh Juta?"

Sebenarnya kaum Cina di Teluk Kemang memang tertanya-tanya akan di mana lesapnya wang kutipan derma sejumlah Empat Puluh Juta itu. Itu merupakan peruntukan khas yang diterima dari pelbagai sumber di negara ini. Tetapi sehingga waktu pengundian, wang yang berjumlah besar itu masih lagi menjadi tanda tanya. Ada pihak yang mengatakan wang itu digunakan untuk membayar kos menukar taraf tanah pertanian yang diperuntukkan kepada penternak khinzir. Tanah yang bertukar taraf kepada tanah perindustrian, khabarnya sudah pun terjual hingga mengumpulkan jumlah penjualan sekitar RM250 juta. Ini bererti wang itu adalah milik para penternak khinzir. Sebab ia tidak dibayar lagi kepada mereka menjadi satu tanda tanya yang besar sehinggalah satu pilihanraya kecil berlaku lagi di kawasan Teluk Kemang. Mungkinkah ini berlaku pula di salah satu kerusi dewan negeri di kawasan Teluk Kemang itu?

Merosotnya Pengaruh UMNO

Salah satu taktik kempen di Teluk Kemang ialah program kampung angkat yang dilakukan oleh UMNO negeri lain kepada setiap kampung Melayu di Teluk Kemang. Ini adalah taktik pancing-undi yang berjaya dilaksanakan di Sanggang dulu. Berjuta ringgit telah dibelanjakan dan tidak semestinya oleh UMNO  kerana dalam program ini semua kemudahan pemerintah telah digunakan oleh UMNO. Malahan para pemimpin UMNO yang turun naik di Teluk Kemang telah melakukan beberapa tugas rasmi di atas nama tugas kerajaan sedangkan tugas itu semata-mata bertujuan membantu usaha UMNO memenangkan calon MIC.

Taktik kempen secara kelompok sebenarnya satu taktik yang cuba mengabui mata orang Melayu. Inilah taktik yang tidak memerlukan kemunculan pemimpin agung yang bertaraf Maharaja daripada mencemar duli ke kawasan kempen. Satu ketika dulu setiap kempen akan menyediakan ruang dan majlis untuk beliau berucap di hadapan rakyat yang dibawa daripada segala pelusuk daerah yang berdekatan untuk meramaikan majlis. Teknik IT dipergunakan agar tepukan hadirin bergema sepuluh kali lebih gamatnya. Kumpulan meraung dan menyokong setiap patah cakapnya memang disediakan untuk memberikan satu gambaran betapa setiap butir ucapannya itu dikagumi oleh rakyat. Itulah taktik utama di pemilu ke-10 dulu yang digunakan. Itulah taktik yang memakan tuan hinggakan Kelantan terus ditangan PAS dan kekuasaan UMNO di Terengganu turut terlepas. Taktik terbaru berkempen secara berkumpulan adalah satu alternatif untuk menutup semua kepincangan dulu. Ini pun sudah tidak laku. Nasib baik ada undi pos dan undi hantu.

Budaya Persepsi Pengundi yang Sudah Bertukar

Kita dapat menjangkakan Mahathir tidak akan turun padang lagi untuk berkempen dalam pilihanraya kecil. Kehadirannya akan membuatkan rakyat terus marah dan pasti membawa padah kepada calon BN yang bertanding. Rakyat memang memendam rasa sekarang ini. Bayangkan sahaja apa yang boleh terjadi kalaulah kes Anwar Ibrahim diteruskan di mahkamah ketika kempen pilihanraya kecil itu sedang dijalankan? Apakah reaksi pengundi Teluk Kemang kalau mereka tahu betapa Mahathir adalah dalang utama yang menegah BPR daripada menghukum Ketua Pengarah EPU yang rasuah? Bukankah tingkah laku Mahathir itu lebih dahsyat daripada  tuduhan yang dikenakan terhadap Anwar Ibrahim yang kini merengkok  atas hukuman enam tahun penjara? Apakah tidak mungkin rakyat memberontak ketika itu dan memangkah calon BA dengan lebih banyak lagi? Bagaimana pula dengan kes Irene Fernandez yang dituduh membohongi fakta dengan berita palsu? Apakah reaksi pengundi India di Teluk Kemang kalau mereka tahu berita Moron Mojumder yang beragama Hindu, disuruh bermain tahi sendiri bersama kawan tahanannya berselang seli dengan mainan luar tabii ketika dia berada di Kem Tahanan Kemayan?

Kini, tercetus cerita seorang Ketua Hakim Negara yang membohongi rakyat kerana bercuti dengan peguam pilihannya sedangkan banyak kes mahkamah peguam itu yang diadilinya. Apakah tindakan Mahathir apabila majlis Peguam Malaysia mendesak ditubuhkan satu suruhanjaya tribunal menyiasat kes itu? "Tak relevan kerana itu muslihat politik!" itulah saja alasannya.  Dapatkah rakyat menerima alasan itu?

Mahathir Merobah Persepsi Rakyat Terhadap Kerajaan

Walaupun Teluk Kemang dimenangi oleh calon BN, nampak jelas perubahan budaya mengundi rakyat masa kini. Teluk Kemang menjadi gurunya. Pelbagai usaha dan tipu muslihat telah dilaksanakan di Teluk Kemang, BN akhirnya menang. Tetapi, rakyat sudah berubah perangai. Akan datang, BN akan menghadapi bahananya. Persepsi pengundi sudah berubah. Walaupun BN menang di Teluk Kemang, barisan Alternatif telah berjaya membuka minda para pengundi untuk melihat kembali taktik jijik yang telah digunakan oleh BN di Teluk Kemang. 

Kehadiran kereta FRU dengan pancutan air, kekerapan sekumpulan polis-kaki-pukul bersantai di sebuah pondok jual kelapa muda di hadapan bekas tapak  'Kelana Lodge" di Batu Empat sudah menjadi satu senario jijikan orang Teluk Kemang ketika itu. Nasib baik para warga askar yang berniaga di Batu Empat mampu bersabar dengan contoh ugutan pihak kerajaan. Jika tidak pasti berlaku satu pertembungan di antara orang melayu yang berpakaian polis dengan orang Melayu warga tentera yang berpakaian pereman. Para penyokong Ruslan Kassim mampu melembutkan sentimen memberontak di kalangan warga tentera kerana diacah oleh gelagat warga polis yang bertugas di situ. Dalam hal ini Ruslan menerima bantuan tersorok ramai pemimpin muda UMNO di Teluk Kemang. Malahan ramai di kalangan mereka ini yang mahukan Ruslan menang kali itu. Apakan daya, mereka juga turut kecewa.

Taktik kempen di Teluk Kemang yang diarahkan oleh Paklah sebenarnya merupakan satu taktik yang jelek. Pemimpin UMNO golongan tua tidak dapat membaca telahan strategi pemimpin muda UMNO yang hanya tersengih dan bermuka-muka. Yang tua fikirkan mereka lebih berpengalaman dan lebih tahu. Yang muda tahu betapa segala taktik itu adalah sesuatu yang palsu dan tak mungkin bertahan lama. Wang yang dihamburkan bukanlah penjamin keutuhan parti dan pengaruhnya yang dapat dijamin berkekalan. BN menang di Teluk Kemang tetapi UMNO kecundang dengan aibnya.

Angin sepoi bahasa tetap berkisar di Teluk Kemang. Keindahan persekitarannya sudah lama mencuit hati dan menyiksa jiwa sesiapa yang kerap bercutian di situ. Pemandangan indah yang mencuri hati itu tidak diyakini oleh penyelewengan pembangunan yang menyiksa jiwa insan yang merasa tersiksa melihatnya. Teluk Kemang yang mampu menjadi bandar indah yang lebih indah daripada kepulauan yang berbau dongengan Mahsuri, akan terus membesar dalam waktu yang terdekat. Semoga pembangunan itu dapat mengambil kira aspirasi orang melayu yang merupakan penghuni asal di situ. Tanpa mereka Teluk Kemang sudah tidak lagi bermakna. Tanpa kehadiran kem-kem tentera dan segala bentuk kelengkapan perang yang tersergam kaku di kem-kem itu, Teluk Kemang akan lebur oleh kerakusan pemimpin politik yang mahu merangkul segala kemewahan alam semula jadi yang boleh diniagakan.

Perencanaan pembangunan Teluk Kemang perlu diolah semula agar segala bentuk lagenda keperwiraan Melayu dapat ditonjolkan seperti tertonjolnya metos Mahsuri di utara, sedangkan Mahsuri itu cuma satu cerita dongeng yang dipolitikkan. Di sebalik setiap pencakar langit yang tersergam bersepahan di Teluk Kemang, tersorok pelbagai cerita ngeri betapa banyak nyawa Melayu yang terkorban dalam mempertahankan negaranya. 

Teluk Kemang adalah pusat semaian  keperwiraan melayu di zaman moden, ketika negara masih dijajah oleh British dan Jepun  sehingga dilanda serangan Komunis. Teluk Kemang adalah puncanya yang menyemarakkan semangat juang Prebet No. 00001 Abdul Samad dan juga Leftenan Adnan. Semua itu mahu diluputkan kerana cerita keperwiraan Melayu itu tidak lagi dianggap satu pengorbanan masyarakat bangsa. Penonjolannya akan menutup rapat sejarah orang politik dalam UMNO masa kini.

Inilah taktik kotor yang selama ini berterusan diamalkan di Teluk Kemang seperti juga yang diamalkan hampir di seluruh negara. Inilah satu metos yang perlu diperbetulkan sebelum kata-kata pemalsuan yang bertopengkan slogan dan cogankata pihak pemerintah bertukar rupa kepada kata-semangat yang membangkitkan jiwa pemberontakan di kalangan anak bangsa yang bangkit dari sedarnya; dan yang tersedar dari pukauan pemimpin  yang diamanahkan mewakili rakyat marhaen untuk memerintah negara ini.

Deruan angin Teluk Kemang akan terus berlalu, desiran pasir ketika air pasang akan terus merobah pantainya. Teluk Kemang akan terus menjadi pedoman setiap kali berlakunya pilihanraya kecil di negara ini. Teluk Kemang sudah menjadi kelas kursus pendek untuk pihak pembangkang menang di pilihanraya kecil yang lain. Kemantapan pemimpin BA berganding bahu dengan para penyokongnya untuk berkempen secara aman adalah satu petanda baik akan terpeliharanya demokrasi di negara ini. Cuma, segala halangan dan hambatan untuk melaksanakan demokrasi itu yang menjadi seribu tanda tanya.

Kerajaan pimpinan Mahathir amat takut dengan kekuatan parti lawan. Kerana itu segala usaha dilakukan untuk menidakkan hak rakyat mengenal isi hati parti lawan. Itu rencana besarnya kerana dia mahu menjadi maharaja sampai mati. Apakah dia sudah memilih satu tempat untuk disemadikan jasadnya satu hari nanti masih menjadi tanda tanya kita. Jangan-jangan Teluk Kemang menjadi pilihannya kerana cerita legenda Teluk Kemang di kalangan masyarakat wira dan perajuritnya adalah lebih meyakinkan daripada cerita dongeng seorang ibu muda yang ditikam semata-mata kerana kecantikannya. Itu pun disebabkan seorang insan yang amat berahikan kecantikannya. Kalau cerita dongeng seperti itu mampu memukau seorang wira dunia ketiga apakah yang boleh diharapkan darinya untuk melakar pembangunan satu tempat peranginan seperti Teluk Kemang ke tahap Kelas Satu Di Antero Dunia?

Secara logiknya adalah lebih selamat kalau Mahathir memilih Teluk Kemang sebagai tapak semadian jasadnya kerana terdapat beribu warga tentera yang boleh ditugaskan menjaganya laksana tugu Jose Rizal di Manila. Jika tidak apakah jaminan seekor katak jelmaan tidak muncul melompat di pusara maharajah itu nanti untuk menitiskan air mata kataknya ataupun air apa namaaanya lagi ?

Aduhai Teluk Kemang, mengertilah betapa tercuitnya hati  dan tersiksanya jiwa ini memikirkan nasib kita bersama. Semoga pembangunanmu seterusnya akan lebih tersusun lagi seperti tersusunnya segala kelengkapan perang yang sekian lama tersidai dan tersadai di kem tentera di sana.

-Marhaintua-
16 Jun, 2000.

Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com 

 counter.bloke.com